Sunday, 8 February 2015

Cuti Separuh Gaji..

Assalamualaikum... Masih berada di awal tahun 2015 (Februari kira awal lagi), dan saya sudah mula mengambil cuti separuh gaji. Sebab? Cinta hati saya baru saja menjalani operation. Tidak mudah untuk saya membiarkan si dia menanggung kesakitan selepas operation tanpa sokongan si sayap kiri (ehem...). Jadi memandangkan tiada cuti tanpa rekod yang disediakan untuk isteri seperti yang suami dapat (7 hari menjaga isteri selepas bersalin), maka sedikit pengorbanan dituntut di situ. Allah lebih mengetahui segala hikmah kejadian. Subhanallah... Ada kelainan dalam perjalanan hidup buat sementara ni? Mestilah ada. Menguruskan keluarga dalam keadaan semuanya sihat, ramai yang menceritakan tentang kekalutan dan kerja rumah yang tidak putus-putus. Saya seorang ibu yang berkerjaya, ada masanya saya menjalani juga kehidupan seorang suri rumah terutamanya ketika cuti sekolah. Saya cukup masak bagaimana keadaan berada dalam kedua-dua situasi. Tak kurang juga situasi suami berdekatan dan berjauhan. Setakat ini saya boleh memahami keadaan itu. Sekarang situasi di mana induk keluarga saya berada dalam tempoh 'berpantang' dan saya sedang sarat anak ke empat. Huhu...komen saya, buat pertama kali, boleh tahan... Apapun, Allah takkan uji melebihi kemampuan masing-masing. Jadi, keep smiling and say, inna lillahi wainna ilaihi raajiuun, setiap kali menghadapi musibah dan ujian hidup. Allah sedang memerhatikan kita dengan pandanganNya yang maha penyayang, balaslah ia dengan kasih sayang selayaknya sebagai seorang hamba. Nikmatnya kesihatan, kita mula menghargainya ketika ia mula menghilang. Segala harta dunia kelihatan murah untuk membeli 'sihat'. Segala kasakitan sanggup diredah untuk mengecapi nikmat sihat. Nikmatnya iman, tiada isi di langit dan bumi yang mampu membelinya tatkala ia sudah mula hilang... na'udzubillahi min dzalik...
Gambar: Kenangan di Jabal Rahmah dengan makcik Embiah dan makcik Maimunah. Sporting, aktif, peramah, rajin...anugerah persahabatan yang Allah beri semasa di Madinah dan Mekah. Alhamdulillah